KES SAMUN WARGA EMAS, POLIS BERJAYA TAHAN DUA SUSPEK LELAKI

KES SAMUN WARGA EMAS, POLIS BERJAYA TAHAN DUA SUSPEK LELAKI

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan DUA (2) orang lelaki dipercayai melakukan samun bersenjata ke atas seorang wanita warga emas berusia 77 tahun di Kampung Konggo, Bandar Tun Razak, Cheras, di sini pada Sabtu baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata suspek pertama, yang juga seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan sehari selepas kejadian, kira-kira jam 12.15 pagi.

Katanya yang dipetik BH, hasil soal siasat ke atas SUSPEK PERTAMA telah membawa kepada penahanan SUSPEK KEDUA iaitu seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun, pada jam 11 pagi semalam.

“Kedua-dua suspek ditahan di rumah masing-masing, yang terletak di sekitar Lembah Klang. Semakan mendapati kedua-dua suspek, masing-masing mempunyai 18 rekod jenayah lampau…

“Menerusi tangkapan ke atas suspek kedua, kita merampas barangan yang dipercayai digunakan semasa melakukan samun serta wang tunai RM5,300,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, suspek pertama kini direman enam hari bermula 27 Mac hingga 1 April ini, manakala suspek kedua direman tujuh hari bermula hari ini hingga 4 April.

Muhammad Idzam berkata, berikutan penahanan kedua-dua suspek, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes samun dengan dua kes berlaku di daerah Cheras dan empat lagi kes di daerah Dang Wangi.

Dalam kejadian samun Sabtu lalu, seorang wanita warga emas berusia 77 tahun kerugian kira-kira RM25,000 selepas penyamun bersenjatakan parang melarikan dua rantai leher serta dua gelang tangan yang dipakai mangsa.

Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu berlaku di hadapan rumah anak mangsa ketika mangsa bersama seorang anak perempuannya mahu keluar makan.

Selain merentap rantai leher dipakai mangsa, suspek juga memotong rantai tangan dipakai mangsa dengan menggunakan gunting pemotong sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

VIDEO tular yang dirakam oleh netizen ketia berlakunya insiden samun berkenaan…

Rakaman kejadian berkenaan turut tular di media sosial sejak minggu lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 akta sama.