TAWAU: Polis menahan lapan lelaki termasuk tiga warga asing disyaki terlibat dengan kegiatan judi sabung ayam di sekitar kawasan Ladang Kelapa Sawit, Jalan Tawau-Kunak, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Bin Hussin berkata, serbuan dilakukan pada kira-kira jam 12.50 tengah hari membabitkan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Beliau berkata, lima lelaki tempatan serta tiga lelaki warga asing berumur dalam lingkungan 25 hingga 61 tahun termasuk seorang warga emas berusia 71 tahun telah ditahan.
“Menerusi serbuan tersebut, pihak polis merampas lapan ekor ayam jantan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan judi laga ayam gelanggang.
“Turut dirampas, peralatan laga ayam serta wang tunai berjumlah RM1,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,”katanya.
Tegasnya, beliau turut memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam sebarang aktiviti perjudian seumpamanya.






