KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri akan meneliti permintaan veteran tentera di Sabah termasuk memberi keutamaan kepada Rumah SMJ, kenaikan geran tahunan dan pembinaan Wisma Pahlawan serta perkampungan veteran di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri amat menghargai pengorbanan mereka dan berharap kepakaran mereka dapat dimanfaatkan lagi dalam memartabatkan kedaulatan negara di samping Kerajaan Negeri.
“Sejak penubuhan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) 42 tahun lalu, pemimpin telah datang dan pergi.
“Bagaimanapun PVATM terus mengharungi arus tanpa jemu untuk menjaga kebajikan veteran dan menjadi jambatan kukuh antara veteran angkatan tentera dan kerajaan.
“Justeru, mesyuarat agung pada hari ini bukan sahaja menjadi medan untuk kita berkongsi pandangan dan pengalaman, malah menentukan hala tuju masa depan PVATM di negeri Sabah.
“Dengan perbincangan konstruktif berterusan dan komitmen padu bersama kerajaan, PVATM mampu menjadi sebuah persatuan yang lebih cemerlang,” katanya.
Ucapan Hajiji dibacakan Pembantu Menteri Negeri Sabah Datuk Abidin Madingkir di Dewan Saadah, Wisma MUIS, di sini pada Ahad.
Beliau juga menggalakkan PVATM Sabah bekerjasama dengan agensi kerajaan dan NGO untuk mengadakan seminar atau bengkel bagi membangkitkan semangat patriotisme terutamanya dalam kalangan belia.
Mesyuarat agung tahunan itu dihadiri lebih 200 ahli mewakili 18 cawangan di Sabah.
Pengerusi PVATM Sabah Marshid Mohd Salleh berkata mereka mempunyai lebih 9000 ahli.
“Tetapi statistik terkini menunjukkan terdapat 22,000 veteran tentera tidak berdaftar di Sabah.
“Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kekurangan pejabat PVATM di Sabah. Adalah harapan kami bahawa kerajaan negeri dapat membantu masalah yang berlarutan ini.
“Rupa geografi Sabah yang luas menyukarkan pendaftaran dan pengumpulan ahli. Kita terbuka bukan sahaja kepada veteran tetapi kepada isteri mereka juga yang boleh menyertai Srikandi PVATM.
“Fungsi PVATM adalah menjaga kebajikan dan kesihatan anggota terutama pada usia yang meningkat ini,” katanya.






