Dua Beranak Berjaya Selamatkan Penjawat Awam Yang Hanyut Bersama Kereta

Dua Beranak Berjaya Selamatkan Penjawat Awam Yang Hanyut Bersama Kereta

0
SHARE

KEMAMAN, TERENGGANU – Dua (2) beranak berjaya menyelamatkan seorang penjawat awam apabila kereta dipandunya dihanyutkan air di Kampung Batu 10, berhampiran susur keluar Plaza Tol Chukai, hari ini.

Dalam insiden kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, Ausdi Muhamed, 53, bersama anak, Amir Syafiq, 28, sedang berehat di rumah sebelum menerima panggilan telefon daripada penduduk kampung yang memaklumkan ada sebuah kereta dihanyutkan air di kawasan berkenaan.

Memetik laporan Bernama, Austi berkata penduduk kampung itu turut pesan supaya beliau membawa bot kerana pemandu dipercayai masih berada di dalam kereta terbabit.

“Saya bersama anak kemudian bergegas menaiki traktor dan membawa bot ke lokasi kejadian yang terletak satu kilometer dari rumah.

“Dari jauh memang nampak ada sebuah kereta Perodua Myvi berwarna putih terapung-apung.

“Saya dan anak menaiki bot untuk sampai ke kereta itu. Pada mulanya, kami bercadang hendak memecahkan cermin untuk menyelamatkan pemandu lelaki itu.

“Namun, cubaan membuka pintu kereta akhirnya berjaya dan beliau menaiki bot kami untuk dibawa ke bahu jalan,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Difahamkan, pemandu Perodua Myvi itu sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Hospital Kemaman, Chukai.

Menceritakan lanjut, Ausdi yang bertugas di Majlis Perbandaran Kemaman berkata, beliau dan anaknya mengambil masa hampir 30 minit untuk menyelamatkan mangsa.

“Kebetulan saya berada di rumah ketika itu dan amat bersyukur penjawat awam itu selamat…

“Bagaimanapun, keretanya terpaksa ditarik dengan menggunakan khidmat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Memang arus agak deras di laluan ini. Sebelum ini, pernah ada kereta rosak serta enjin mati akibat cuba mengharung air tetapi pemandunya sempat keluar dari kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd Zailani Abdullah, berkata mangsa berusia 27 tahun itu bertolak dari Marang pada jam 10.15 pagi tadi untuk bekerja syif pada sebelah malam.

“Ketika sampai di lokasi, mangsa dikatakan cuba meredah air yang sedang melimpah di atas jalan walaupun arus deras…

“Kereta dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba dibawa arus ke sebelah kiri bahu jalan dan hanyut ke dalam semak, menyebabkan mangsa terperangkap di dalam kereta akibat terkunci selama 15 minit,” katanya kepada pemberita.

Mohd Zailani berkata, mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke Balai Polis Chukai untuk membuat laporan kemalangan.

Beliau sekali gus menasihati pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati serta tidak mengambil risiko meredah laluan yang dinaiki air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.