Raja Permaisuri Agong Berkenan Lawat PWKK

Raja Permaisuri Agong Berkenan Lawat PWKK

0
SHARE
Permaisuri
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (dua dari kanan) bertanyakan khabar kepada beberapa penghuni wanita ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat Penjara Wanita Kota Kinabalu (PWKK) pada Rabu.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda kira-kira 4.35 petang disambut oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (Mutiara GRS), Datuk Julia Salag dan isteri kepada Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pengiring, Datin Siti Noor Hayyat Mohd Saufi.

Lawatan tersebut merupakan antara pengisian dalam Program Kembara Kenali Borneo yang bermula 3 sehingga 7 September ini.

PWKK yang terletak di Kepayan dahulunya merupakan lokasi Sekolah Henry Gurney dan kini menempatkan seramai 277 penghuni wanita termasuk 14 pesalah juvana.

Tunku Azizah turut berkenan melawat Bengkel Pastri dan Pameran Infokraf Produk Penjara Sabah (MyPRIDE) dengan diiringi oleh Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad dan Pengerusi PERSIAP Malaysia, Datin Zihana Mohd Zin. — JABATAN PENERANGAN SABAH