Lee Zii Jia Muncul Juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022

Lee Zii Jia Muncul Juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022

0
SHARE

PUTRAJAYA – Pemain badminton perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia akhirnya telah muncul juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 di Manila, Filipina.

Pemain nombor tujuh dunia itu telah menewaskan pemain nombor lapan dunia dari Indonesia, Jonathan Christie.

Zii Jia menewaskan Jonathan dengan kemenangan 21-17, 23-21 pada aksi final di Komplek Sukan Muntinlupa sebentar tadi…

Walaupun Zii Jia diasak Jonathan, akhirnya beliau tetap muncul juara setelah lawan beliau melakukan beberapa kesilapan dalam pertarungan yang memakan masa selama 45 minit.

Pemain dari Alor Setar, Kedah itu berjaya mengulangi kejayaan yang pernah dilakar legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei ketika menjuarai edisi 2016 di Wuhan, China.

Dalam masa sama, kejayaan Zii Jia juga sedikit sebanyak menebus kekecewaan kem badminton negara ke atas Indonesia selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan pada final beregu lelaki.

Gelaran sebagai juara Asia pastinya menjadi pembakar semangat terbaik buat Zii Jia untuk memberikan aksi terbaik buat Malaysia pada saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand bermula 8 hingga 15 Mei ini.