HIMPUNAN BANGKIT SABAHAN 2.0 BAKAL GEGAR SABAH, TUNTUT KETELUSAN KES RM1.5 BILION...

HIMPUNAN BANGKIT SABAHAN 2.0 BAKAL GEGAR SABAH, TUNTUT KETELUSAN KES RM1.5 BILION SHAFIE APDAL

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sekretariat Himpunan Bangkit Sabahan 2.0 mengumumkan satu perhimpunan aman bakal diadakan dalam masa terdekat bagi mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan dana RM1.5 bilion projek pembangunan luar bandar di Sabah.

Penasihat Sekretariat Himpunan Bangkit Sabahan 2.0, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, perhimpunan itu diadakan demi menuntut ketelusan, akauntabiliti dan keadilan terhadap kes berprofil tinggi yang membabitkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika menjawat jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang sehingga hari ini terus menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat Sabah.

Menurut beliau, dana berkenaan disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) antara tahun 2009 hingga 2015.

“Untuk rekod, Shafie Apdal pernah ditahan reman SPRM pada Oktober 2017 bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Selain itu, lebih 50 individu turut dipanggil memberi keterangan manakala beberapa individu lain termasuk ahli politik dan pegawai berkaitan turut ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media.

Datuk Zulkarnain turut mendakwa beliau pernah membuat laporan rasmi kepada SPRM kira-kira sembilan tahun lalu selain menyerahkan beberapa dokumen dan bukti berkaitan bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun katanya, selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional pada Ogos 2018, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu yang juga pemimpin Parti Warisan Sabah, Datuk Liew Vui Keong memaklumkan kes tersebut telah digugurkan.

“Keputusan tersebut menimbulkan pelbagai persoalan dan keresahan rakyat kerana kes melibatkan dana pembangunan luar bandar Sabah bernilai RM1.5 bilion bukan isu kecil yang boleh dipandang ringan.

“Rakyat Sabah berhak mengetahui mengapa kes sebesar ini dihentikan serta apakah tindakan susulan yang telah diambil oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Menurut beliau lagi, Himpunan Bangkit Sabahan 2.0 juga akan menjadi platform rakyat Sabah untuk menyuarakan tuntutan agar SPRM tampil memberi penjelasan terbuka dan profesional kepada rakyat tanpa sebarang campur tangan politik.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa perhimpunan berkenaan diadakan sebagai tanda solidariti serta sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam mempertahankan kestabilan politik dan kepentingan negeri Sabah.

Mengulas mengenai kenyataan pihak tertentu termasuk Bersih dan kumpulan mahasiswa yang mahu menganjurkan “Himpunan Gempur Rasuah Sabah 3.0”, beliau menegaskan bahawa Himpunan Bangkit Sabahan 2.0 tidak mempunyai sebarang kaitan dengan gerakan tersebut.

Namun katanya, pihaknya menjangkakan perhimpunan itu berkemungkinan sekali lagi berdepan pertembungan sebagaimana yang pernah berlaku di hadapan Menara Kinabalu pada Disember 2025 lalu.

Beliau menegaskan Himpunan Bangkit Sabahan 2.0 dianjurkan atas prinsip perjuangan rakyat Sabah dan bukan didalangi mana-mana parti politik pembangkang mahupun pihak berkepentingan luar.

Katanya, matlamat utama himpunan tersebut adalah memastikan isu rasuah serta kepentingan rakyat Sabah terus diperjuangkan secara aman, tegas, profesional dan berlandaskan undang-undang.