Kemasukan Rasinin Bersama Lebih 150 Bekas Ahli Warisan ke PGRS, Bukti Parti...

Kemasukan Rasinin Bersama Lebih 150 Bekas Ahli Warisan ke PGRS, Bukti Parti Makin Diyakini – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kemasukan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan merangkap bekas pemimpin Warisan di Keningau, Rasinin Kautis bersama lebih 150 ahli Warisan Liawan ke dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menjadi bukti bahawa parti itu semakin diyakini rakyat dan pemimpin akar umbi di negeri ini.

Ketua Penerangan PGRS, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkembangan itu mencerminkan keyakinan berterusan terhadap kepimpinan Presiden PGRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang menekankan kestabilan politik, pembangunan rakyat dan kepimpinan mesra rakyat.

Menurut beliau, keputusan Rasinin bersama barisan kepimpinan Warisan Liawan menyertai PGRS bukan sekadar penyertaan politik biasa, sebaliknya manifestasi sokongan terhadap hala tuju perjuangan parti tempatan Sabah itu.

“Kemasukan mereka membuktikan bahawa pendekatan kepimpinan Hajiji yang menekankan kestabilan politik, pembangunan rakyat dan kepimpinan mesra rakyat terus diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Saya percaya keputusan Rasinin bersama barisan kepimpinan Warisan Liawan untuk bersama PGRS akan menjadi suntikan baharu kepada kekuatan parti, khususnya di kawasan Liawan dan pedalaman Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Nizam turut menyambut baik kelulusan usul pindaan perlembagaan PGRS yang diluluskan sebulat suara pada Persidangan Agung Khas parti di Sabah International Convention Centre pada Ahad lalu. 

Katanya, pindaan itu membolehkan penstrukturan semula bahagian parti daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian berdasarkan 25 kawasan Parlimen di Sabah dan Parlimen Labuan.

Beliau berkata, langkah itu merupakan penyusunan strategik bagi memastikan gerak kerja parti menjadi lebih tersusun, kukuh dan berkesan di semua peringkat.

“Penyelarasan bahagian mengikut kawasan Parlimen akan membantu memperkemas koordinasi jentera, mengurangkan pertindihan tugas serta membolehkan pemantauan parti dilaksanakan dengan lebih jelas dan berfokus,” katanya.

Menurutnya, pindaan berkenaan juga akan memperkukuh kedudukan PGRS sebagai parti tempatan Sabah yang mempunyai hala tuju jelas, disiplin organisasi yang kuat dan kesiapsiagaan tinggi dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Nizam berkata, penyusunan semula itu tidak menafikan jasa dan peranan ahli akar umbi, sebaliknya bertujuan menggabungkan kekuatan sedia ada dalam satu struktur lebih besar dan tersusun demi memperkukuh perjuangan parti.

Beliau turut menyeru seluruh kepimpinan dan ahli PGRS supaya menerima pindaan itu dengan semangat kekeluargaan, disiplin dan kesatuan serta mengalu-alukan penyertaan ahli-ahli baharu sebagai sebahagian daripada keluarga besar perjuangan parti.