KOTA KINABALU, SABAH – Barisan Nasional (BN) Sabah bakal menyokong mana-mana gabungan yang bakal diputuskan BN pusat untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
Memetik sumber BERNAMA, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pihaknya membuat keputusan tersebut kerana mahu memastikan kestabilan dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan seterusnya mewujudkan kestabilan di negara ini.
“Kita akan ikut keputusan parti (BN pusat) bagaimana, kita kena utamakan kestabilan kerajaan (Persekutuan) dan negara ini dulu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas tindakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menyatakan sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri, Bung Moktar berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan terperinci dengan rakan kerjasamanya dalam Kerajaan Sabah itu.
“Kita akan bincang dengan GRS selepas selesai penubuhan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Hari ini, media melaporkan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan sokongan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke 10.