SKM, Gerakan Koperasi Sumbang RM50 Ribu Kepada Pulau Mabul

SKM, Gerakan Koperasi Sumbang RM50 Ribu Kepada Pulau Mabul

0
SHARE
Zazali merakamkan kenangan bersama dengan semua yang terlibat dalam program CSR itu..

SEMPORNA, SABAH – Pulau Mabul, Semporna menerima sumbangan daripada badan-badan gerakan koperasi berjumlah RM50,650 bagi membiayai keperluan asas penduduk di pulau tersebut.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Dato’ Hj Zazali Haron berkata, sumbangan tersebut dilakukan sebagai sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh SKM.

“Ini bertetapan dengan objektif dan matlamat sebenar dalam prinsip koperasi yang ke-7 iaitu ‘Prihatin Terhadap Masyarakat’,” katanya.

Zazali berkata program ini merupakan usaha murni SKM sebagai agensi Kerajaan yang bertanggungjawab untuk membantu dan menyokong aktiviti kemasyarakatan serta dapat berganding bahu bersama gerakan koperasi dalam konteks sosial selaras dengan prinsip koperasi yang ke-6 iaitu kerjasama antara koperasi.

“Ini kerana melalui program seperti ini, SKM dan gerakan koperasi dapat dikenali ramai dan ianya dapat meningkatkan imej, identiti korporat serta keyakinan masyarakat terhadap SKM dan gerakan koperasi agar terus relevan sebagai penyumbang penting dalam sektor ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Penyerahan CSR SKM dan Gerakan Koperasi di Dewan Terbuka SK Pulau Mabul semporna baru-baru ini.

Zazali memberitahu bhawa sumbangan yang diberikan adalah berbentuk sumbangan tunai dan keperluan barangan.

“Sejumlah RM14,000 telah disalurkan ke dalam Akaun Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SK Pulau Mabul yang mana SKM telah memperuntukkan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk Keperluan Pembeliaan ICT…

“Koperasi Tanjong Keramat Malaysia Berhad telah menyumbangkan sebanyak RM5,000 untuk membaikpulih bumbung sekolah, dan begitu juga Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Bhd menyumbangkan sebanyak RM2,000.

“Koperasi Maal Nizami Negeri Selangor Bhd (KOMANI) menyumbang sebanyak RM1,000 dan Koperasi FK Capital Bhd berjumlah RM1,000 untuk menampung keperluan Sekolah bagi pembelian ICT,” katanya.

Antara acara sukaneka yang menghiasi program itu…

Beliau menambah bahawa sumbangan berbentuk keperluan barangan adalah pemberian Bakul Makanan yang disumbangkan oleh Co-opbank Pertama Malaysia Bhd dengan nilai RM15,000, kepada 100 orang penerima kategori B40 atau miskin tegar.

“Ini termasuklah pihak SKM juga memberikan sumbangan tambahan Bakul Makanan berjumlah RM7,500 kepada 50 orang penerima dalam kategori yang sama. Penerima-penerima bantuan ini adalah dalam kalangan murid-murid sekolah yang telah dikenalpasti tahap pendapatan ibu bapa mereka menerusi Pangkalan Data Murid dengan kerjasama guru-guru SK Pulau Mabul dan Ketua Kampung,” katanya.

Ujarnya lagi, Koperasi Tenaga Nasional Bhd menyumbangkan RM5,000 bagi penyediaan baju untuk aktiviti gotong-royong.

Sebagai tambahan, Zazali berkata, SKM juga Menyantuni Masyarakat Kaum Bajau Laut di Kg Sama Relaut, Pulau Mabul dengan nilai sumbangan berjumlah RM8,550 yang memberi manfaat kepada 90 penerima dalam kategori Miskin Tegar.

“Seterusnya Koperasi Nasip Kita Tawau Bhd menyumbang 3 unit kipas dinding untuk kegunaan Surau Pulau Pelancongan Nur Rezky Pulau Mabul. Ini termasuklah Koperasi Usahawan Balimbang Semporna Bhd yang membawa peserta atau gerakan koperasi dari Tawau ke Semporna untuk datang ke Pulau Mabul…

“Diharap ianya sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada Komuniti Pulau Mabul dalam menjayakan program kali ini. Sesungguhnya tanpa komitmen dan kerjasama daripada semua pihak, maka tiadalah penganjuran program CSR ini,” katanya.

SKM juga akan menyampaikan cek replika kepada Koperasi Pelancongan North Borneo Semporna Bhd berjumlah RM18,000 iaitu geran Bantuan bagi Program E-Dapat untuk mempromosikan aktiviti koperasi secara atas talian.

“SKM berharap dengan bantuan yang diberikan ini akan meluaskan lagi rangkaian jaringan perniagaan koperasi bukan sahaja di dalam negeri tetapi juga di peringkat antarabangsa…

“Ini akan membantu koperasi meningkatkan pendapatan koperasi dan seterusnya menjadi penyumbang bekesan kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Turut hadir, Pengarah SKM, Matias Kundapin; Guru Besar SK Pulau Mabul, Lawaddin Jammal; Ketua Kampung Pulau Mabul, Hj Mohd Yusof Jalal; Pengerusi Koperasi Pelancongan North Borneo, Hj Kerino Jelani; Penolong Kanan HEM, Manja Md Yusof; YDP PIBG sekolah, Mad Zafar Mad Zahala; Unit 2 Paskal Pangkalan TLDM Bersama Rombongan Para Medik Ketua Cawangan Perubatan KD Sri Semporna, Kapten Dr. Nuradlin Lim Cia Cia dan lain-lain.