Hormati Keputusan Pengampunan Najib, Prinsip Keadilan Tidak Boleh Digadai – Mustapha

Hormati Keputusan Pengampunan Najib, Prinsip Keadilan Tidak Boleh Digadai – Mustapha

0
SHARE

KOTA KINABALU: Keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan berhubung pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu dihormati selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, penghormatan terhadap Perlembagaan bagaimanapun tidak bermaksud prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang boleh diketepikan.

“Penghormatan terhadap Perlembagaan tidak bermaksud kita menggadaikan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

Sesiapa yang melakukan kesalahan jenayah, khususnya berkaitan salah guna kuasa dan rasuah, hendaklah dipertanggungjawabkan menurut undang-undang tanpa mengira pangkat atau pengaruh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman bagi kes SRC International secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan syarat ditetapkan.

Mustapha berkata, seperti ditegaskan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, pengampunan bersyarat berkenaan hanya terpakai bagi kes SRC International.

Menurutnya, perkara itu bermakna kes-kes lain yang melibatkan Najib akan terus melalui proses perundangan masing-masing.

Dalam pada itu, Mustapha menegaskan Malaysia perlu terus kekal sebagai sebuah negara hukum yang menjunjung integriti serta kebebasan institusi.

Katanya, keyakinan terhadap sistem perundangan dan pentadbiran negara penting bukan sahaja bagi memperkukuh kepercayaan rakyat, malah dalam mengekalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang diyakini.

“Seluruh kekuatan harus ditumpukan kepada kestabilan politik dengan meneruskan sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menjayakan agenda reformasi dan pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Mustapha turut menyifatkan kepimpinan Anwar sebagai penting dalam memastikan tumpuan Kerajaan MADANI terhadap tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih belum diselesaikan dapat diteruskan.

Katanya, bagi rakyat di Sabah dan Sarawak, perhatian juga perlu diberikan kepada usaha menambah baik peruntukan kewangan bagi memastikan agenda pembangunan di kedua-dua wilayah dapat terus dilaksanakan.

“Bagi rakyat Borneo, kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim amat diperlukan agar fokus Kerajaan MADANI untuk memenuhi tuntutan MA63 yang belum selesai serta menambah baik peruntukan kewangan demi pembangunan Sabah dan Sarawak dapat terus dijayakan,” katanya.