PAKAR EKONOMI SANGKAL KENYATAAN NAJIB HUTANG 1MDB TIDAK GUNA DANA AWAM

PAKAR EKONOMI SANGKAL KENYATAAN NAJIB HUTANG 1MDB TIDAK GUNA DANA AWAM

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Pakar ekonomi, Datuk Dr Nungsari Ahmad Radhi menyangkal kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan tiada dana awam digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurutnya, kenyataan Najib adalah tidak benar dan tepat kerana semua hutang 1MDB mempunyai kadar faedah yang perlu dilangsaikan dan ia perlu dibayar oleh kerajaan.

Memetik laporan Sinar Harian, beliau berkata dalam konteks 1MDB, syarikat pelaburan tersebut juga mengeluarkan bon untuk berhutang.

“Jadi dakwaan Najib tidak betul. Bon itu ada faedah. Jadi, siapa yang membayar faedah ini? Kerajaanlah yang bayar…

“Ini tak termasuk dengan duit pokok (prinsipal). Hutang ini perlu dibayar pada ketika ia matang. Mungkin pada tahun ini, tahun depan atau tahun seterusnya.

“Perlu diingat 1MDB mengeluarkan bon menggunakan jaminan kerajaan. Oleh itu ia dikira sebagai liabiliti kerajaan. 1MDB tidak ada duit nak bayar, sebab itu kerajaan yang kena bayar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Rabu.

Bon merujuk kepada sijil pelaburan yang dikeluarkan oleh kerajaan atau perbadanan, yang menunjukkan bahawa sejumlah wang telah dipinjamkan dan akan dibayar balik berserta faedah.

Najib pada sidang Parlimen semalam (Rabu) memberitahu, tiada satu sen dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar balik jumlah hutang pokok 1MDB.