KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Muhammad Raiyan Fung Abdullah, mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan parti termasuk Setiausaha Bahagian N.69 Sri Tanjong serta keluar daripada keahlian parti berkuat kuasa 26 Julai.
Dalam kenyataan ringkas, beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pertimbangan sewajarnya atas faktor peribadi dan demi kepentingan masa hadapannya.
Raiyan turut merakamkan penghargaan kepada Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, barisan kepimpinan serta ahli parti atas peluang, kepercayaan dan sokongan sepanjang beliau memegang jawatan.
Beliau dalam masa sama mendoakan agar STAR terus maju dalam memperjuangkan aspirasi rakyat.
Perkembangan itu menambah kepada beberapa siri peletakan jawatan melibatkan pemimpin dan ahli STAR di Sabah sepanjang tahun ini.






