Kidd Santhe Raikan Kejayaan Antarabangsa Menerusi ‘Aku Level Lain’

Kidd Santhe Raikan Kejayaan Antarabangsa Menerusi ‘Aku Level Lain’

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Selepas mencipta kejayaan di pentas antarabangsa menerusi lagu “Naa Vera Level”, penyanyi dan komposer, Kidd Santhe tampil dengan karya terbaharu berjudul “Aku Level Lain”, yang mengangkat identiti Malaysia menerusi gabungan bahasa, budaya dan elemen muzik tempatan.

Lagu itu diterbitkan oleh Kidd Next Door Productions bersama Sony Music Entertainment Malaysia, dengan sokongan pengedaran antarabangsa daripada Sony Music Entertainment India South, sekali gus meletakkan Kidd Santhe dalam kelompok artis Malaysia yang menerima sokongan pengedaran di peringkat global.

Kejayaan “Naa Vera Level”, hasil kolaborasi bersama artis Chennai, Raavanaa Ram, menjadi pemangkin kepada penghasilan karya baharu itu selepas lagu berkenaan meraih lebih satu juta tontonan di YouTube dalam tempoh empat hari selain mendapat liputan meluas media di India.

Menurut Kidd Santhe, pengalaman mempromosikan lagu itu di Chennai membuka ruang baharu untuk beliau menghasilkan karya yang lebih dekat dengan rakyat Malaysia tanpa mengorbankan identiti tempatan.

“‘Naa Vera Level’ membuka banyak peluang yang tidak disangka. Sambutan di India sangat luar biasa, daripada tontonan di YouTube sehingga liputan media dan pertemuan dengan peminat di Chennai. Pengalaman itu membuat saya sedar muzik boleh merentasi sempadan tanpa kehilangan identiti. Sebab itu saya hasilkan ‘Aku Level Lain’ untuk meraikan Malaysia, bahasa kita dan budaya kita,” katanya.

Lebih daripada sekadar versi bahasa Melayu, “Aku Level Lain” menampilkan interpretasi baharu yang menggabungkan elemen hip-hop Pantai Timur menerusi kolaborasi bersama Rxf Rhaled, anggota kolektif hip-hop WRGA yang terkenal dengan penggunaan dialek Kelantan dalam karya-karyanya.

Gabungan itu memberi identiti tersendiri kepada lagu berkenaan, sekali gus meraikan kepelbagaian budaya Malaysia melalui penggunaan bahasa Melayu, elemen budaya India Malaysia serta dialek Kelantan.

Bagi melengkapkan konsep tersebut, video muzik rasmi “Aku Level Lain” diarahkan oleh Veshaan Raj dan Kripxen, dengan keseluruhan penggambaran dijalankan di Kelantan sebagai penghormatan kepada budaya dan landskap Pantai Timur.

Kidd Santhe berkata, kejayaan di peringkat antarabangsa bukan penamat perjalanan seninya, sebaliknya menjadi motivasi untuk terus menghasilkan karya yang dekat dengan masyarakat tempatan sambil membawa nama Malaysia ke pentas dunia.

Lagu “Aku Level Lain” bersama video muzik rasminya akan mula menemui peminat di semua platform penstriman digital bermula 31 Julai 2026.