KOTA KINABALU: Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang akan berlangsung di Masjid Negeri Sabah pada 31 Julai ini dijangka menarik lebih 1,500 peserta dan pengunjung daripada pelbagai agensi kerajaan, veteran serta orang awam sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan para pahlawan negara.
Persiapan bagi sambutan itu diperkukuhkan menerusi kunjungan hormat Ahli Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu pada Isnin.
Rombongan berkenaan diketuai Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah bagi memohon perkenan Tun Musa untuk menghadiri Majlis Kesyukuran dan Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah 2026.
Turut mengiringi kunjungan itu ialah Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah, SAC Datuk Mohd Azhar Hamin yang mewakili Pesuruhjaya Polis Sabah; Panglima 5 Briged, Brigedier Jeneral Abdul Razak Harun yang mewakili Panglima 5 Divisyen Kem Lok Kawi; Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Abdul Manap Abdul Rubim yang mewakili pengarah jabatan berkenaan.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Faradillah Abdul Rani; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan) DBKK, Karim Rahim; Pengarah Jabatan Perundangan merangkap Ketua Staf Pejabat Mayor, Sairullizam Sukor serta Pengarah Jabatan Korporat dan Antarabangsa DBKK, Rosie Inus Molukun.
Majlis Kesyukuran dan Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah 2026 akan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti bacaan Surah Yasin, tahlil, doa selamat serta penyampaian tazkirah khas.
Sebagai simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan para pahlawan, majlis itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada wakil veteran yang dikenal pasti oleh PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).






