110.4km Paip Usang Sabah Perlu Diganti, RM1.14 Bilion Diluluskan

110.4km Paip Usang Sabah Perlu Diganti, RM1.14 Bilion Diluluskan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah mempunyai 110.4 kilometer paip air usang kritikal yang perlu diganti dengan anggaran kos RM99.35 juta, menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Timbalan Menteri PETRA, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata sebanyak RM258 juta turut diperuntukkan di bawah program Non-Revenue Water (NRW) bagi mengurangkan kehilangan air dan meningkatkan kecekapan sistem bekalan di negeri ini.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pinjaman pembiayaan berjumlah RM1.14 bilion kepada Sabah bagi tempoh 2024 hingga 2026 melibatkan lapan projek pembangunan bekalan air.

Daripada jumlah itu, tiga projek utama bernilai RM614.9 juta tertumpu di Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya, meliputi penggantian paip usang, pengurangan NRW serta peningkatan sistem penghantaran dan agihan air.

Projek penggantian paip di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan bernilai RM200 juta kini di peringkat awal pelaksanaan dan dijangka siap menjelang 2030.

Sementara itu, projek pengurangan NRW Kota Kinabalu bernilai RM219.4 juta mencatat kemajuan fizikal 26.1 peratus dan dijangka siap pada 2027, manakala projek paip utama di bawah Loji Rawatan Air Telibong II bernilai RM195.5 juta kini di peringkat perolehan dengan sasaran siap 2029.

Setakat ini, sebanyak RM17.5 juta telah disalurkan, dengan baki pembiayaan akan dilepaskan secara berperingkat berdasarkan kemajuan fizikal projek dan tuntutan bayaran yang disahkan.

Perkara itu dibangkitkan oleh Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, di Dewan Negara yang meminta penjelasan mengenai jumlah paip kritikal di Sabah serta peruntukan khusus bagi memastikan isu gangguan air dan paip pecah dapat ditangani secara menyeluruh.