Kerajaan Sabah Terus Sokong IKS, SME-UP RM15 Juta Tahun 2026

Kerajaan Sabah Terus Sokong IKS, SME-UP RM15 Juta Tahun 2026

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan terus memperkukuh pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan peruntukan RM15 juta bagi meneruskan Program Bantuan SME-UP pada tahun 2026, sebagai usaha berterusan merangsang pertumbuhan ekonomi dan keusahawanan negeri.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, berkata IKS kekal sebagai pemangkin utama sektor pembuatan dan ekonomi tempatan melalui peningkatan produktiviti, peluasan pasaran serta pembangunan kapasiti usahawan.

Menurut beliau, Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah akan diteruskan pada 2026 menerusi penganjuran Karnival Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di beberapa daerah terpilih bagi membuka peluang pasaran baharu dan meningkatkan hasil jualan usahawan.

“Pada 2025, padanan perniagaan bersama pasar raya tempatan merekodkan nilai RM2.9 juta, manakala jualan kaunter mencecah RM92,500, membuktikan penerimaan pasaran yang menggalakkan terhadap produk IKS Sabah,” katanya.

Ewon berkata, pelaksanaan SME-UP pada 2026 akan diperkemas melalui penilaian teknikal lebih teliti, pembangunan kapasiti usahawan serta pemantauan impak bantuan bagi memastikan mesin dan peralatan yang disalurkan benar-benar meningkatkan produktiviti.

Beliau turut memaklumkan kerjasama strategik dengan Pasaraya Bataras dan Petronas Dagangan Berhad akan diteruskan selepas mencatat jualan masing-masing RM885,000 dan RM2.91 juta setakat November 2025, selain cadangan memperluaskan kerjasama ke Pasaraya Aeon bagi menembusi pasaran Semenanjung Malaysia.

Dalam perkembangan lain, penyertaan Sabah dalam 18 ekspo antarabangsa sepanjang 2025 melibatkan 115 usahawan IKS berjaya merekodkan potensi jualan RM95.9 juta, melepasi sasaran RM70 juta dan mengatasi pencapaian tahun sebelumnya.

Bagi menyokong rantaian bekalan, Ewon berkata Program Fulfilment Services bersama Pos Malaysia Berhad akan diteruskan melibatkan 30 usahawan terpilih, selain penekanan terhadap pembangunan modal insan, pensijilan produk dan transformasi digital bagi memastikan sumbangan berterusan IKS kepada kemakmuran ekonomi Sabah.