TAWAU: CelcomDigi dan Maxis diarahkan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan telekomunikasi di Kampung Tinagat selepas ujian yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati dua daripada tiga lokasi di kawasan berkenaan gagal memenuhi standard mandatori yang ditetapkan.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, arahan itu dikeluarkan susulan lawatan dan pengujian kualiti liputan serta prestasi perkhidmatan komunikasi yang dijalankan di Kampung Tinagat berikutan aduan yang diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan penduduk setempat.
Menurut kenyataan itu, lawatan berkenaan turut disertai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tinagat bagi menilai tahap perkhidmatan komunikasi yang diterima pengguna di kawasan tersebut.
“Hasil pengujian Wireless Broadband Access Service (WBAS) mendapati bahawa dua daripada tiga lokasi ujian tidak memenuhi standard mandatori yang ditetapkan oleh MCMC.
“Dapatan pengujian tersebut telah dimaklumkan kepada penyedia perkhidmatan yang terlibat pada 29 Mei 2026 lalu untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Sehubungan itu, MCMC telah memberikan tempoh tujuh hari bekerja kepada penyedia perkhidmatan terbabit untuk mengemukakan maklum balas serta pelan tindakan bagi menangani isu yang dikenal pasti.
Menurut MCMC, notis di bawah Seksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dikeluarkan kepada mana-mana penyedia perkhidmatan yang gagal mengemukakan maklum balas dalam tempoh yang ditetapkan.
Bagi mempercepatkan proses penambahbaikan, CelcomDigi telah diarahkan melaksanakan langkah-langkah peningkatan liputan rangkaian selain mengemukakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang.
Pada masa sama, Maxis diarahkan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di tapak menara telekomunikasi Kampung Tinagat bagi memastikan kualiti perkhidmatan dapat dipertingkatkan.
“MCMC akan terus memantau pelaksanaan tindakan penambahbaikan oleh penyedia perkhidmatan bagi memastikan isu yang dibangkitkan dapat ditangani dengan berkesan serta memastikan penduduk setempat menikmati perkhidmatan komunikasi yang lebih berkualiti,” menurut kenyataan itu.
Tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MCMC dalam memastikan pengguna di Sabah, khususnya di kawasan luar bandar, mendapat akses kepada perkhidmatan komunikasi yang berkualiti, stabil dan memenuhi piawaian yang ditetapkan.






