LPPB Bangun Sembilan Pekan Baharu, Perumahan Awam dan RMM Diperkasa di Sabah

LPPB Bangun Sembilan Pekan Baharu, Perumahan Awam dan RMM Diperkasa di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) diperuntukkan dana bagi membangunkan sembilan pekan baharu di seluruh Sabah, termasuk di Tongod dan Beluran, sebagai langkah strategik memperkasa pembangunan seimbang serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata projek berkenaan turut melibatkan Pekan Baharu Paginatan, Merotai, Sungai Melayu (Sebatik), Sukau, Melalap, Ulu Dusun dan Penangah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17, di sini, pada Rabu.

Seiring pembentangan Belanjawan 2026, katanya, kementerian turut memberi keutamaan kepada penyediaan perumahan awam kos rendah dan Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah seliaan LPPB bagi memenuhi keperluan rakyat.

Antara projek diteruskan ialah Pembangunan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Fasa 1 di Sukau melibatkan 50 unit rumah berkembar, Melalap (50 unit rumah teres), Beluran (20 unit rumah teres) dan Pitas (50 unit rumah teres).

Bagi RMM, dua projek sedang dalam pembinaan membabitkan 243 unit apartmen di Kepayan Ridge, Kota Kinabalu serta 241 unit rumah teres di Kimanis, Papar.

Selain itu, empat lagi projek RMM dirancang melibatkan 78 unit apartmen di Jalan Sepanggar, 200 unit apartmen di Kepayan, 86 unit apartmen di Tanjung Aru, Kota Kinabalu serta 1,200 unit rumah berkembar di Beringgis, Papar.

Dalam pada itu, Arifin berkata perancangan bandar yang tersusun menjadi asas pembangunan mampan dan berdaya tahan, justeru Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPBW) akan melaksanakan beberapa inisiatif utama termasuk kajian semula Rancangan Struktur Negeri Sabah di bawah RMK-13, kajian semula Rancangan Daerah di enam daerah terpilih, pembangunan Sistem Sabah Digital Planning Hub serta penyediaan Pelan Induk Bandar Pintar Sabah.