KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menyokong penuh cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang mengesyorkan pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa perlu kuarantin wajib.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin walau bagaimanapun menegaskan agar pembukaan sempadan negara perlu diikuti dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi mengekang penularan varian baru Omicron di negara ini.
“Pembukaan sempadan negara perlu dilakukan secepat mungkin memandangkan Sabah memerlukan pasaran antarabangsa untuk memulihkan sektor pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, SOP yang ketat perlu disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM)…
seterusnya diperincikan dengan lebih jelas kepada pemain industri bagi memastikan mereka bersedia sebelum pembukaan sempadan negara dibuka kelak.
Tambahnya, kementerian juga bersedia untuk mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak termasuk pemain industri dalam membuat persediaan awal sekaligus merangka kempen promosi dan pemasaran bagi memastikan pelancong luar negara menjadikan Sabah sebagai destinasi pilihan utama mereka.
Sementara itu, Jafry juga berkata pelancong luar yang mahu ke Sabah disarankan untuk mengambil pelan perlindungan insurans untuk pelancong yang meliputi kos perubatan dan kemasukan ke hospital akibat kemalangan dan penyakit termasuk jangkitan Covid-19.
“Matlamat sekarang ini adalah kita mahu membuka sempadan agar industri pelancongan akan terus hidup dalam masa sama memastikan agar penularan COVID-19 dapat dikawal,” katanya…
Sehingga kini, kerajaan negeri hanya membenarkan aktiviti pelancongan domestik sahaja.
Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia- Singapura (VTL) juga masih diperingkat perbincangan dan belum dilaksanakan di negeri Sabah.
“Kita perlu bersama-sama berganding bahu dan bekerja sebagai satu pasukan demi mencapai matlamat memulihkan industri pelancongan dan kembali menjadi antara penyumbang utama ekonomi di negeri ini,” tambah Jafry.