Polis Marin Rampas Rokok Seludup Bernilai RM1.2 juta

Polis Marin Rampas Rokok Seludup Bernilai RM1.2 juta

0
SHARE

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas rokok seludup dianggar bernilai RM1.2 juta termasuk cukai dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Hing Lee, di sini, Jumaat lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 5.30 petang itu, sebanyak lebih 1,800 kotak rokok yang berjaya dirampas dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, operasi Op Contraband itu dijalankan atas maklumat barang tidak bercukai.

Katanya, pemeriksaan di rumah berkenaan berjaya menemukan 984,000 batang rokok pelbagai jenama disyaki dari negara jiran.

“Dalam operasi itu juga, pasukan operasi turut menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai penjaga rumah berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, semua rokok berkenaan dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan,” katanya di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya percaya bahawa rumah berkenaan dijadikan sebagai tempat menyembunyikan rokok tanpa kelulusan kastam sebelum dijual atau diedar ke pasaran sekitar.

Jelasnya lagi, tangkapan dan rampasan kemudian diserahkan kepada pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan lanjut.

Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1976.