PENAMPANG, SABAH – Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daerah ini mendahului yang lain dalam negeri untuk menerima dos vaksin penggalak mereka.
Kira-kira 50 pasukan anggota dan pegawai Bomba pelbagai pangkat telah menerima suntikan Pfizer ketiga bermula jam 8.30 pagi tadi.
Balai BBP Penampang, PKPgB John Radsung berkata, pihaknya telah berbincang dengan Klinik Medisinar supaya proses vaksinasi itu diadakan di balai bagi mengelak kesesakan serta memudahkan petugas kesihatan.

“Kita sentiasa menyarankan anggota bomba untuk mengambil dos penggalak mereka bagi meguatkan lagi sistem imun…
“Ini kerana tugasan sebagai pekerja barisan hadapan (frontliner) untuk sentiasa berhadapan dengan kemungkinan ancaman kepada kesihatan apabila berada di lapangan,” katanya.
Menurut beliau, tiada wujud golongan anti-vaksin di kalangan anggotanya yang bersedia dan menyambut baik program itu.
“Ada (anggota) yang tidak dapat hadir atas sebab tertentu tetapi akan mendapat suntikan penggalak mereka secara ‘walk-in’ nanti…

“Tiada paksaan bagi dos ketiga ini tetapi dos pertama dan kedua adalah wajib bagi mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 di balai,” katanya semasa dihubungi.
Turut hadir ialah Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, PgKB I Hj Hamsah Isnurdini.





