Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Kehilangan Besar Kepada Negara – Hajiji

Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Kehilangan Besar Kepada Negara – Hajiji

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menyifatkan pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sebagai kehilangan besar kepada negara yang dirasai seluruh rakyat.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau menzahirkan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, serta seluruh keluarga atas pemergian isteri beliau pagi tadi.

“Allahyarhamah merupakan seorang tokoh yang disegani dan menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia melalui jasa, sumbangan serta dedikasi beliau kepada negara. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar yang pastinya dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya.

Hajiji turut mendoakan agar Dr Mahathir dan keluarga diberikan ketabahan serta kesabaran menghadapi saat sukar itu.

“Segala jasa dan bakti Allahyarhamah pasti akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut berdoa agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah, mengampunkan segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.

Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, pada usia 100 tahun. Pemergiannya disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir. Allahyarhamah meninggalkan tujuh orang anak.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926, Allahyarhamah dikenang atas sumbangannya dalam bidang perubatan, khususnya kesihatan ibu dan anak, selain khidmat kebajikan masyarakat.

Beliau juga pernah menerajui Badan Kebajikan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) serta menjadi penaung Persatuan Badminton Malaysia.