Hak 40 Peratus Sabah Tidak Pernah Dijadikan Bahan Tawar-Menawar Politik – Farid

Hak 40 Peratus Sabah Tidak Pernah Dijadikan Bahan Tawar-Menawar Politik – Farid

0
SHARE

KOTA KINABALU: Hak 40 peratus Sabah tidak pernah dijadikan bahan tawar-menawar politik, tegas Setiausaha Akhbar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak), Ahmad Farid Sainuri.

Ahmad Farid berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Sakmud telah dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan gambaran seolah-olah hak perlembagaan Sabah dikaitkan dengan sokongan politik kepada Kerajaan MADANI.

“Apa yang ingin ditegaskan oleh Menteri adalah kesungguhan pentadbiran Kerajaan MADANI memenuhi keperluan Sabah dengan meningkatkan pembayaran interim hingga mencecah jumlah yang tidak terjangkau selama ini.

“Di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlah tersebut meningkat daripada RM300 juta pada 2023 kepada RM600 juta pada 2024 dan kini RM1.5 bilion setahun.

“Peningkatan bayaran interim ini adalah bukti kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan dalam mencari jalan penyelesaian terhadap perkara-perkara berkaitan hak serta kepentingan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada laporan media bertajuk “Kalau mahu pembayaran RM1.5 bilion interim diteruskan, kekalkan kerajaan Madani” yang telah dikeluarkan di beberapa portal berita tempatan sejak 27 September yang lepas.

Tegasnya lagi, rekod pentadbiran tersebut sama sekali tidak bermaksud hak Sabah diletakkan sebagai syarat kepada sokongan politik, sebaliknya hak Sabah kekal seperti yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Malah Pemberian Khas Interim bukan dan tidak pernah dianggap sebagai pengganti kepada penyelesaian tuntutan 40 peratus. ia merupakan bayaran sementara proses menentukan nilai sebenar Pemberian Khas Sabah dimuktamadkan.

“Justeru, persoalan mengenai formula, nilai sebenar dan mekanisme pelaksanaan bukanlah perkara yang diketepikan.

“Itulah proses utama yang sedang dimuktamadkan antara Kerajaan Sabah melalui Setiausaha Kerajaan Negeri, Kementerian Kewangan Sabah dan Kerajaan Persekutuan melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan,” jelasnya.