PITAS: Dua remaja perempuan berusia 13 dan 18 tahun cedera selepas melompat dari tingkap ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran yang memusnahkan dua rumah di Kampung Dandun, di sini, awal pagi hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, PBT II Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.55 pagi sebelum tujuh anggota digerakkan ke lokasi sejauh 23 kilometer.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 5.24 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan dua rumah jenis tidak kekal masing-masing berkeluasan 50 x 40 kaki dan 40 x 75 kaki yang terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran dengan tiga pancutan sepanjang 300 kaki dengan sumber air daripada jentera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Noor Jali, kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.30 pagi.
“Berdasarkan maklumat saksi, dua mangsa perempuan berusia 18 dan 13 tahun dilaporkan mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan diri dengan melompat dari tingkap rumah.
“Kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke hospital oleh orang awam,” katanya.
Beliau berkata, anggota bomba seterusnya menjalankan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
Operasi yang diketuai Komander Operasi, PBK I Kamarudin Sabanah itu tamat sepenuhnya pada jam 8.24 pagi.
Seramai tujuh anggota BBP Pitas terbabit dalam operasi berkenaan dengan bantuan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).






