KUALA LUMPUR – Kerajaan belum membuat ketetapan bagi melaksanakan kajian untuk menambah kawasan pilihan raya atau persempadanan semula susulan pertambahan pemilih pada suku ketiga 2021.
Memetik laporan pada BH Online, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ini kerana kuasa untuk berbuat demikian tertakluk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan tidak berhak menganggu tanggungjawab SPR kerana suruhanjaya itu bebas untuk membuat saranan.
“Kajian bukannya hanya untuk menambah jumlah (kawasan pilihan raya), tetapi ada jumlah boleh dikurangkan atas (syor) SPR…
“Kerajaan tidak berhak ganggu tanggungjawab SPR. SPR adalah bebas untuk membuat keputusannya sendiri untuk disarankan kepada kerajaan,” katanya menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) di Dewan Rakyat, hari ini.
Wan Junaidi menjelaskan, urusan Kajian Semula Persempadanan adalah kajian semula pembahagian sempadan-sempadan Bahagian Pilihan Raya sedia ada bagi mengesyorkan apa-apa perubahan dengannya yang difikirkan perlu berdasarkan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada SPR untuk melaksanakan kajian semula sempadan setiap Bahagian Pilihan Raya di negara ini yang terbahagi kepada tiga unit berasingan mengikut Fasa (6) Perkara 113 perlembagaan sama.
Beliau memaklumkan, unit itu merangkumi Unit Negeri-Negeri Tanah Melayu termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Unit Negeri Sabah dan Unit Negeri Sarawak.
“Urusan Kajian Semula Persempadanan bermula mengikut keadaan apabila tamat tempoh tidak kurang lat lapan tahun daripada tarikh siapnya urusan Kajian Semula Persempadanan sebelumnya,” katanya.
Katanya, jika ia berkaitan dengan peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, SPR boleh memulakan urusan Kajian Persempadanan Semula setelah tamat tempoh tidak kurang lat atau selang lapan tahun daripada tarikh siapnya urusan kajian semula sebelumnya.
“Namun sekiranya SPR memulakan urusan berkenaan, ia perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun. Bagi maksud terbabit, la tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan negeri Sarawak akan berakhir pada tahun 2023, Sabah pada tahun 2025 manakala Negeri-Negeri Tanah Melayu pula pada tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata, apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda, sama ada penambahan atau pengurangan kerusi dewan mahupun pewujudan wilayah baharu, SPR hendaklah melaksanakan urusan Kajian Persempadanan Semula dalam tempoh dua tahun dari tarikh pindaan undang-undang itu berkuat kuasa.
Secara dasarnya, Wan Junaid menjelaskan, setiap pemilih akan mengundi berdasarkan Bahagian Pilihan Raya yang telah ditetapkan kepada mereka.
“Namun begitu, jumlah pemilih dalam sesuatu bahagian yang lebih kurang sama banyak turut mengambil kira faktor-faktor seperti kesulitan atau kesukaran perhubungan, pengangkutan, keluasan kawasan, demografi serta bentuk geografi…
“Setiap bahagian adalah unik dan berbeza dari segi demografi, keluasan kawasan dan bentuk geografi. Setiap satu bahagian tidak boleh disamakan atau dibandingkan dengan bahagian yang lain,” katanya.