KOTA KINABALU: Lebih 300 peminat van ubah suai dari Malaysia, Brunei, Thailand dan Jepun berhimpun sempena Box Meetup 2026 di Dataran Letak Kereta Kompleks Sukan Likas pada 8 November lalu.
Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik merangkap Timbalan Pengerusi Jetama Water Sdn Bhd, Datuk Abdul Kassim Razali.
Abdul Kassim berkata kehadiran peminat van dari Jepun, Thailand dan Brunei menunjukkan daya tarikan Box Meetup sebagai acara automotif antarabangsa.
Deretan van dengan pelbagai gaya ubah suai menjadi tumpuan pengunjung. Beberapa van dipamerkan dengan pintu terbuka supaya pengunjung dapat melihat dari dekat susun atur ruang dalaman, termasuk pemasangan lampu hiasan.
Dengan slogan One Passion, Beyond Borders!, perhimpunan itu memberi ruang kepada pemilik van untuk bertukar idea tentang pengubahsuaian kenderaan dan menjalin persahabatan merentas negara.






