Motosikal Terbabas Masuk Parit, Lelaki Maut di Penampang

Motosikal Terbabas Masuk Parit, Lelaki Maut di Penampang

0
SHARE

PENAMPANG: Seorang lelaki berusia 41 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit berbatu di Jalan Sapulut-Tambunan, berhampiran Kampung Notorus, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kejadian itu melibatkan sebuah motosikal yang dipercayai terbabas sendiri.

“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 41 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit berbatu di lokasi kejadian.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Sammy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133 bagi membantu siasatan.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mengawal kelajuan kenderaan dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.