Gagasan Rakyat Diyakini Mampu Tawan DUN Sekong Jika Diberi Peluang Tanding PRN-17

Gagasan Rakyat Diyakini Mampu Tawan DUN Sekong Jika Diberi Peluang Tanding PRN-17

0
SHARE

SANDAKAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diyakini mempunyai peluang besar untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong daripada parti Warisan sekiranya diberi mandat untuk meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) akan datang.

Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah menegaskan bahawa hasil siri lawatan dan penilaian di kawasan berkenaan menunjukkan parti pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor itu menguasai sekitar 68 peratus sokongan rakyat berbanding parti-parti lain dalam gabungan GRS dan Pakatan Harapan (PH).

“Saya memberi jaminan Gagasan Rakyat berpotensi besar menang di kawasan itu sekaligus merampas kerusi DUN Sekong daripada Warisan,” katanya selepas melawat ‘War Room’ Gagasan Rakyat Sekong, semalam.

Masiung yang juga Pengerusi Zon 10 Gagasan Rakyat Sandakan berkata, sokongan masyarakat pelbagai lapisan terhadap Gagasan Rakyat di Sekong amat ketara dan menjadikan parti itu pilihan nombor satu pengundi setempat.

Namun beliau memberi amaran, peluang GRS untuk menawan kerusi Sekong mungkin terjejas sekiranya calon daripada parti lain dalam GRS atau PH diletakkan bertanding di kawasan Pantai Timur tersebut.

Beliau menjelaskan laporan terperinci daripada semua tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Sekong menunjukkan Gagasan Rakyat menjadi tulang belakang utama GRS, dengan kelebihan statistik yang jauh mengatasi parti-parti lain.

“Pandangan badan bebas dan risikan Unit Cawangan Khas beruniform harus diambil kira agar tidak merugikan peluang GRS di Sekong dalam PRN-17 kali ini,” tegasnya.

Masiung diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew, yang juga Timbalan Pengerusi Zon 10, dalam lawatan singkat ke pejabat Gagasan Rakyat Sekong.

George menambah, kekuatan akar umbi parti di Sekong yang mempunyai lebih 300 cawangan aktif memberi keyakinan bahawa kerusi pembangkang itu mampu ditawan sekiranya GRS memberi laluan kepada Gagasan Rakyat untuk bertanding.

“Kewujudan parti-parti lain dalam gabungan GRS dan PH boleh membantu memperkukuh pengaruh Gagasan Rakyat di kawasan ini, bukan melemahkannya,” katanya.

Kedua-dua pemimpin berkenaan sepakat bahawa strategi paling berkesan untuk menumbangkan Warisan di Sekong adalah dengan meletakkan calon daripada Gagasan Rakyat, berdasarkan kekuatan sokongan akar umbi serta data lapangan yang kukuh.