SANDAKAN: Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan persiapan rapi telah dibuat untuk pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) menerusi inisiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95) yang bermula pada 30 September ini.
Timbalan Menteri KPDN, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh, berkata semua syarikat minyak telah mengesahkan kesediaan mereka, termasuk penyediaan mesin di stesen minyak dan sistem pembayaran di terminal pam serta kaunter.
“Sehingga 26 September, sebanyak 5,829 syarikat dengan 13,800 rekod pendaftaran SKPS telah direkodkan di seluruh negara.
“KPDN turut memberi fleksibiliti kepada syarikat untuk menentukan pengagihan kuota melalui penggunaan fleet card,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Menurutnya, hasil libat urus Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bersama ahli Parlimen baru-baru ini, KPDN diminta meneliti keperluan subsidi petrol bagi pengangkutan awam bukan darat termasuk bot penumpang, perahu dan sampan bermotor yang digunakan pelajar dan penduduk pedalaman.
Beliau yakin pelaksanaan SKPS ini akan mengurangkan ketirisan subsidi di stesen minyak, sekali gus mengawal risiko kenaikan harga barangan dan caj perkhidmatan pengangkutan awam.
“Penjimatan hasil pengurangan ketirisan juga boleh memperkukuh kedudukan fiskal negara selain disalurkan kepada pembangunan,” katanya.
Bagi melicinkan pelaksanaan, Kaunter Khidmat Pelanggan SKPS akan dibuka di semua pejabat negeri dan cawangan KPDN bermula 28 September.
Skim BudiMADANI ditetapkan pada RM1.99 seliter bagi Individu95 menggunakan MyKad, manakala MySubsidi95 @ SKPS yang menggunakan fleet card ditawarkan pada harga RM2.05 seliter.






