TELIPOK, SABAH – Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Kapitan Stephen Teo berkata, pencapaian terbaik SK Tampulan di pelbagai Festival Filem Pendek antarabangsa perlu dukungan kemudahan pelbagai pihak berkaitan pelancongan.
Katanya, ianya bagi memperkembang produksi sekaligus membantu promosi keunikan Sabah.
Jelas beliau, kreativiti dan kepakaran warga sekolah berkenaan mampu menjadi aset kepada Sabah dan Malaysia untuk mengetengahkan biodiversitinya kepada dunia….
“Tinjauan kami di SK Tampulan menunjukkan sekolah berkenaan memiliki kepakaran serta kecekalan menghasilkan pelbagai filem pendek untuk pertandingan pelbagai festival dunia tapi kekurangan kemudahan,” kata Stephen.
Stephen yang juga Ketua Bahagian STAR Karambunai menegaskan, pihaknya akan berbincang dengan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar untuk membantu sekolah berkenaan.
Menurut Stephen, antara kemudahan yang diperlukan ialah studio, peralatan audio-visual dan busana watak-watak muriddalam penggambaran.
Stephen berkata demikian selepas menghadiri Khidmat Masyarakat Pelajar Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) di sekolah berkenaan kira-kira 5km dari Pekan Telipok pada Sabtu.
Hadir sama dalam pengisian program sukaneka dan gotong-royong ialah Guru Besar SK Tampulan Zaliha Ismenyah, Penolong Kanan Vincent Matambun dan Pengarah Program Chu Fui Ling.
Stephen yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) hadir menyampaikan sumbangan kewangan pelaksanaan program dari tanggungjawab sosial korporat (CSR) dermawan Datuk Joseph Ambrose Lee.
Antara pencapaian SK Tampulan di peringkat antarabangsa ialah johan kategori sekolah Toyo Short Film Festival (Jepun) 2020, finalis BIKY Film Festival (Korea) 2020, Finalis KidzCINEMA(India) 2021, keempat Hak-iS Short Film Festival (Turki) 2021dan Panel CINESABAH 2021.
Di peringkat kebangsaan, SK Tampulan menjadi johan Sabah Screen Fest KSTI kategori sekolah rendah 2020, johan Filem Celik Kewangan BSN kategori sekolah rendah 2021 dan separa finalis Wave Awards UITM 2021.
Manakala di peringkat daerah, SK Tampulan johan Pertandingan Filem Pendek JPN Sabah kategori sekolah rendah 2020, naib johan Together Transformating Education (Filem DalamPendidikan) PPD KK Tuaran 2020, panel MIBOT (Amalan Terbaik) PPD KK 2021 dan jawatankuasa ICT Hari Guru PPD KK PPD KK 2021.