DATUK ZURAIDA UMUM LETAK JAWATAN MENTERI DAN SERTAI PARTI BANGSA MALAYSIA 

DATUK ZURAIDA UMUM LETAK JAWATAN MENTERI DAN SERTAI PARTI BANGSA MALAYSIA 

0
SHARE
Datuk Zuraida Kamaruddin...

Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Seperti dijangka, Zuraida dalam satu kenyataan hari ini turut mengumumkan keputusannya meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ampang itu turut dikaitkan dengan penubuhan Parti Parti Bangsa Malaysia (PBM) tetapi menafikan terlibat dengan penubuhan parti itu.

“Saya telah berkecimpung dalam politik selama dua puluh empat tahun, termasuk 14 tahun terakhir sebagai Ahli Parlimen Ampang…

“Setelah membuat pertimbangan yang mendalam, saya telah memutuskan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“ Saya mempercayai dengan perjuangan parti ini dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya iaitu:

“Keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju,” katanya.

Beliau yakin PBM berpotensi terutamanya “pada masa rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik lama yang membantutkan kemajuan negara”. 

“Insya Allah, penyertaan serta pengalaman saya ke PBM nanti akan dapat membantu mengangkat Parti ini ke peringkat yang lebih tinggi, terutamanya menjelang pilihan raya umum yang akan datang. 

“Penyertaan saya ini juga akan mengisi kelompongan kepimpinan wanita dalam negara,” tambahnya.

Zuraida berkata beliau akan pergi berjumpa dengan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan perletakan jawatan selain peranan dan hala tuju PBM.

“Demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia, saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri,” katanya…

Menurut Zuraida, beliau kini berada di Turki untuk memenuhi undangan memberikan ucapan pada majlis pembukaan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin.

“Persidangan ini akan berlangsung selama tiga hari bermula pada 27 Mei, dan seterusnya saya akan ke Athens, Greece bagi memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia. 

“Insyallah saya akan kembali ke tanah air pada 2 Jun,” beliau berkata.