PUTATAN, SABAH – Program “The Amazing Youth Race’ anjuran Kelab Kebajikan dan Rekreasi (KESIPU) dengan kerjasama Kelab Remaja Klinik Kesihatan Putatan diadakan buat julung kalinya di Taman Awam Teluk Likas pada Sabtu.
Tujuan utama program melibatkan 33 orang peserta remaja itu adalah untuk menerapkan kesedaran mengenai aspek kesihatan remaja yang meliputi lima aspek utama.
Ianya terdiri daripada kesihatan fizikal, kesihatan mental, kesihatan seksual dan reproduktif, tingkah laku yang berisiko dan pemakanan yang seimbang.
Peserta perlu menyelesaikan tugasan di setiap ‘check-point’ yang ditetapkan dan menjawab soalan kuiz yang disediakan.
Soalan-soalan yang diberikan meliputi cara penyakit HIV boleh berjangkit, sentuhan yang selamat, meneka masalah pemakanan remaja seperti anoreksia nervosa dan bulimia nervosa dan senarai masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja.
Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Nik Farah Nik Yusof Fuad selaku Ketua Klinik Kesihatan Putatan berharap peserta mendapat pengetahuan tentang kesihatan remaja sambil berseronok dengan aktiviti yang disediakan.
“Semua peserta yang hadir menzahirkan rasa gembira kerana dapat menimba pelbagai ilmu pengetahuan yang berguna dan dapat ramai kawan baru,” katanya.
Pada masa yang sama, Dr Nik Farah juga telah merasmikan penubuhan Kelab Remaja Kinik Kesihatan Putatan.
Pemenang tempat pertama telah dinobatkan kepada Kumpulan Nirvana. Setiap peserta mendapat hadiah seperti alat tulis, hamper dan sijil penyertaan.
“Kelab ini akan menjadi platform terbaik bagi menyampaikan maklumat-maklumat kesihatan remaja kepada ahli kelab melalui pelbagai aktiviti menarik.
“Golongan remaja di sekitar daerah Putatan amat digalakkan untuk menyertai Kelab Remaja ini kerana remaja yang sihat adalah tunjang negara,” katanya.
Klinik Kesihatan Putatan juga menyediakan Perkhidmatan Klinik Mesra Remaja pada setiap hari Selasa pertama dan ketiga setiap bulan dari pukul 2 hingga 4.30 petang.
Sekiranya golongan remaja di daerah Putatan mengalami sebarang masalah kesihatan, mereka boleh mendapatkan nasihat dan bimbingan dan Kinik Mesra Remaja Klinik Kesihatan Putatan.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi 088-785704 atau ke page Tik Tok Klinik Mesra Remaja KK Putatan untuk maklumat lanjut.