Kerajaan Teliti Lambakan Entiti E-Dagang Asing, Lindungi Peniaga Tempatan – Fadillah

Kerajaan Teliti Lambakan Entiti E-Dagang Asing, Lindungi Peniaga Tempatan – Fadillah

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti isu lambakan produk dan kehadiran entiti e-dagang asing dalam pasaran tempatan bagi memastikan persaingan yang adil serta melindungi kepentingan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu antara fokus utama Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Memperkasa Pembelian dan Penggunaan Produk Tempatan yang dipengerusikannya, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan memandang serius kebimbangan peniaga tempatan terhadap persaingan yang semakin mencabar, khususnya susulan perkembangan pesat perdagangan digital dan kehadiran entiti e-dagang asing.

“Kerajaan perlu memastikan perkembangan ekonomi digital tidak mengetepikan kepentingan perusahaan tempatan, sebaliknya menyediakan persekitaran perdagangan yang telus, teratur dan bertanggungjawab kepada semua,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Fadillah berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Kementerian Kewangan (MOF) akan meneliti penyelarasan penguatkuasaan terhadap kemasukan produk dan perniagaan asing menerusi kumpulan jawatankuasa kerja yang bakal diwujudkan.

Menurutnya, kerajaan turut memberi perhatian kepada penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang bagi memperkukuh kerangka perundangan serta menjaga kepentingan peniaga, PMKS dan pengguna.

Sementara itu, mesyuarat berkenaan turut membincangkan penyeragaman penggunaan logo Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA), dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dicadangkan menyelaraskan garis panduan pelaksanaannya.

Beliau berkata, inisiatif JOM MALAYSIA turut menerima peruntukan RM10 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi membantu produk desa dan perkhidmatan bernilai tinggi menembusi platform digital serta pasaran antarabangsa.

Fadillah turut menekankan kepentingan kerjasama menyeluruh antara kementerian, agensi, pemain industri dan platform digital bagi memperkukuh daya saing PMKS serta memperluas pasaran produk tempatan.