TUARAN, SABAH – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kiulu menekankan kepentingan solidariti antara Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR dalam usaha memperkukuhkan gabungan ini menjelang pilihan raya akan datang.
Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai, menegaskan bahawa kerjasama erat antara ketiga-tiga parti utama di Kiulu akan menjadi penentu kepada kejayaan GRS di kawasan ini.
“Kemenangan kita di Kiulu kelak adalah untuk kemenangan GRS bagi memastikan kesinambungan kerja baik di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor,” ujarnya dalam Majlis Solidariti GRS N.15 Kiulu di sini, pada Isnin.
“Maka itu, kita perlu menjiwai semangat solidariti dalam GRS kerana ia adalah kunci kepada kekuatan kita di Kiulu, dan kita mesti memastikan parti PBS, STAR, dan PGRS di sini bergerak seiringan.
“Kita perlu berada di landasan yang sama serta matang dalam menangani perbezaan pandangan,” tambah beliau.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Abdul Kassim Razali; Ketua Bahagian PGRS Kiulu, Janih Bangud; dan Ketua Bahagian STAR Kiulu, Terence Sinti.
Joniston, yeang juga Ketua Bahagian PBS Kiulu dan ADUN Kiulu, berkata bahawa setiap komponen parti GRS di Kiulu perlu bijak dalam menguruskan perbezaan pendapat dan memastikan bahawa tiada isu yang boleh menjejaskan perpaduan gabungan di peringkat lokaliti.
Beliau turut menyeru ahli-ahli GRS di Kiulu untuk kekal bersatu dan tidak terpengaruh dengan taktik politik pihak lawan yang cuba memecahbelahkan gabungan dengan membuat tomahan yang tidak berasas.
Sementara itu, Terence memberi komitment bahawa STAR di bahagian Kiulu akan memberi sokongan sepenuhnya terhadap GRS dan menyumbang kemenangan
“Kita harus menunjukkan GRS ada solidariti di Kiulu dan kita kekal menyokong agar gabungan ini terus memimpin kerajaan negeri,” katanya.
Jasnih menekankan bahawa perhimpunan Solidariti GRS perlu diadakan secara berkala untuk memperkukuh perpaduan dan memastikan semangat solidariti di Kiulu kekal kuat.
Tambah beliau, penglibatan yang berterusan melalui perhimpunan ini akan membantu menangani cabaran yang timbul dan memastikan semua ahli selaras dengan matlamat gabungan.