TAWAU, SABAH – Polis daerah ini telah menangkap suspek bunuh seorang lelaki berusia 33 tahun di Kampung Ranggu Cina, Batu 8 Jalan Apas pada Ahad.
Penahanan suspek warganegara asing berusia 31 tahun menyelesaikan kes terbabit dalam tempoh kurang 24 jam.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata suspek yang bekerja sebagai buruh kasar di sebuah ladang di kampung itu ditahan pada kira-kira jam 12 tengah hari.
“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Balai Polis Sri Indah yang menjalankan siasatan di lokasi menemui mangsa dengan kesan tetakan di kepala dan badan dipercayai dibuat dengan parang di dalam sebuah rumah.
“Pasukan tersebut digerakkan ke tempat kejadian selepas menerima laporan yang dibuat oleh abang mangsa yang datang ke Balai Polis Inanam di Kota Kinabalu pada 11.30 pagi Ahad,” katanya dalam sebuah kenyatan.
Katanya, pihaknya berjaya menahan suspek dan menemui parang yang dipercayai digunakan dalam serangan itu.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian adalah perselisihan faham antara mangsa dan keluarga suspek. Kedua-duanya mengenali antara satu sama lain,” tambahnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.