KOTA KINABALU, 24 September – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, menzahirkan ucapan tahniah kepada anak-anak Sabah yang berjaya menjuarai Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan 2025, sekali gus melakar sejarah buat negeri di bawah bayu.
Selepas penantian 16 tahun, pasukan dari Sabah bukan sahaja kembali ke pentas akhir, malah menamatkan cabaran sebagai Johan buat kali pertama.
Kali terakhir Sabah mara ke peringkat akhir ialah pada tahun 2009 dengan gelaran Naib Johan.
Hajiji menyifatkan kemenangan ini sebagai bukti semangat juang, keyakinan dan bakat luar biasa anak-anak Sabah yang telah mengharumkan nama negeri di pentas nasional.
“Saya turut berbangga apabila anak-anak Sabah ini menggunakan dialek Sabah yang berkumandang di pentas kebangsaan. Keberanian ini bukan sahaja mengangkat identiti kita, tetapi juga menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa bahasa dan budaya adalah kekuatan sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara barisan pelajar yang mewakili Sabah ialah:
SMK Tawau: Noraeezma Mada Ali Joharie (16), Anas Humairah Suwardi (15), Anis Malaeka Husni (15), dan Nur Safa Natasya Aaharuddin (15).
SM Sains Sabah: Nur Aisyah Jasrin (16) dan Siti Ellysha Jaimis (16).
Ketua Menteri Sabah itu turut merakamkan penghargaan kepada guru-guru, jurulatih, pegawai pengiring dan ibu bapa yang menjadi tulang belakang kejayaan ini.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa anak-anak Sabah mampu berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri lain, bahkan berani menonjolkan identiti sendiri.
“Saya berharap pencapaian ini menjadi inspirasi kepada generasi muda di seluruh Sabah,” tambah beliau.






