KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM235 juta bagi Dana Pembiayaan Khas Wanita menerusi Bajet 2023 bagi mendorong lebih ramai wanita meningkatkan kapasiti perniagaan dan menambah baik strategi pemasaran,
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata peruntukan terbabit akan diberikan melalui skim Semarak-Nita BSN, Tekunita TEKUN, Dananita MARA dan Bizlady Bank Rakyat.
Selain itu, menurutnya sejumlah RM8 juta diperuntukkan untuk memperkukuhkan Pusat Sokongan Sosial Setempat yant berperanan sebagai lokasi intervensi awal serta sesi advokasi psikososial dan kaunseling.
“Kerajaan juga akan memperbanyakkan ujian saringan melalui subsidi ujian mamogram dan program saringan kanser serviks kepada kaum wanita dengan peruntukan RM11 juta…
“Pelaksanaan saringan kanser serviks juga akan diperintiskan menggunakan kaedah baharu ujian saringan PCR yang telah dipelopori oleh Yayasan ROSE dengan kerjasama Universiti Malaya dan Universiti Malaysia Sarawak,” katanya.
Selain itu, Zafrul ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini berkata kerajaan juga akan program khusus untuk memperkasakan lagi junlah wanita yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.
“Setakat Oktober ini, wanita memegang 29 peratus daripada komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat senaraian awam utama dan kesemua 100 syarikat ini mempunyai sekurang-kurangnya seorang wanita sebagai ahli lembaga pengarah mereka.
“Bagi terus memperkasa peranan wanita di peringkat kepimpinan korporat, Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan program latihan khas untuk meningkatkan kemahiran wanita, mengenal pasti dan seterusnya menambah bilangan wanita yang layak untuk dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.
“Saya percaya parti-parti politik pun sedang giat mengenal pasti serta berazam untuk mencalonkan lebih ramai wakil rakyat wanita untuk PRU akan datang.
“Akhir sekali, bagi menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja setelah mengambil tempoh ‘career break’, kerajaan bercadang untuk mengecualikan cukai pendapatan ke atas pendapatan yang diterima mulai tahun taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2028,” katanya.