KOTA KINABALU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada Jumaat menasihatkan orang ramai khususnya di Sabah supaya berwaspada kerana negara sedang mengalami fasa peralihan monsun.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah (gambar) berkata ini berdasarkan ramalan cuaca baru-baru ini yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi.
“Negara ini memulakan fasa peralihan monsun pada 3 Oktober yang dijangka berlarutan sehingga November.
“Ini menyebabkan hujan dan ribut petir kerap berlaku terutama di kawasan timur Sabah…
“Dan ini akan disusuli dengan Monsun Timur Laut dijangka berakhir pada Mac 2023. Keadaan ini akan menyebabkan air tinggi dan laut bergelora.
“Bahagian timur Sabah adalah daripada kawasan yang dijangka terjejas teruk. Kudat dan Sandakan akan menerima hujan sedikit melebihi purata pada November hingga Disember,” katanya.
Rosli menasihatkan masyarakat maritim supaya peka dengan tanda-tanda amaran di samping menekankan kepentingan jaket keselamatan.
“Sentiasa utamakan keselamatan diri, maklumkan kepada ahli keluarga atau rakan tentang destinasi dan lokasi semasa anda di laut dan bot berada dalam keadaan baik,” tambahnya.