Seleweng Dana RM2 Juta, Presiden NGO Ditahan SPRM

Seleweng Dana RM2 Juta, Presiden NGO Ditahan SPRM

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sabah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalah guna kuasa dengan menyeleweng dana pembinaan sebuah dewan kebudayaan dan galeri bernilai kira-kira RM2 juta.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan kesalahan itu pada tahun 2022 dengan menyeleweng peruntukan yang diperoleh daripada Kementerian Kewangan bagi pembinaan dewan berkenaan.

Suspek juga dipercayai mengemukakan permohonan dan melaksanakan sendiri projek pembinaan dewan itu tanpa mendapat persetujuan Ahli Majlis Tertinggi pertubuhan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menyalah guna jawatan atau kedudukan bagi mendapatkan suapan.

Menurutnya, suspek dijadualkan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis ini.