Tarif Elektrik Sabah Disemak Bermula 1 Februari, Subsidi RM849 Juta Kekal Tampung...

Tarif Elektrik Sabah Disemak Bermula 1 Februari, Subsidi RM849 Juta Kekal Tampung Kos

0
SHARE

KOTA KINABALU: Semakan tarif elektrik di Sabah akan dilaksanakan mulai 1 Februari 2026 secara berhemah di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bagi memastikan bekalan stabil, berkualiti dan mampan, selaras Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

Kadar purata tarif asas diselaraskan daripada 34.52 sen/kWj kepada 39.70 sen/kWj susulan peningkatan kos operasi, penyelenggaraan dan pelaburan infrastruktur.

Bagi tempoh kawal selia kedua, kos sebenar pembekalan dianggarkan 45.08 sen/kWj, namun Kerajaan Persekutuan mengekalkan subsidi RM849 juta bagi tempoh 2026 hingga 2027 untuk menampung jurang tersebut.

Sebanyak 85 peratus pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 600 kWj hanya mengalami kenaikan minimum sehingga RM27, manakala isi rumah miskin tegar terus menerima rebat e-Kasih sehingga RM40 sebulan.

Pengguna komersil kecil turut dilindungi dengan lanjutan blok tarif sehingga 500 kWj, dengan anggaran kenaikan antara RM4 hingga RM24.

Diskaun 20 peratus Off-Peak Tariff Rider diteruskan untuk pengguna komersil dan industri voltan rendah, selain diskaun 10 peratus kepada institusi kebajikan, rumah ibadah dan pendidikan.

Kerajaan Negeri turut memperkenalkan diskaun baharu 10 peratus kepada sektor pertanian, akuakultur dan perikanan bagi menyokong keterjaminan makanan.
Sabah Electricity dalam sebuah kenyataan berkata semakan tarif itu membolehkan pelaburan berterusan dalam penyelenggaraan dan naik taraf rangkaian elektrik bagi mengurangkan gangguan bekalan serta memperkukuh infrastruktur tenaga.

“Pengguna digalakkan mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap dan mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sesawang ECoS dan Sabah Electricity,” katanya.