Sabah Berpotensi Jadi Hab Angkasa Serantau, Syarikat Rusia Teroka Kerjasama

Sabah Berpotensi Jadi Hab Angkasa Serantau, Syarikat Rusia Teroka Kerjasama

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah dilihat berpotensi cerah untuk muncul sebagai hab pelancaran angkasa di Asia Tenggara apabila syarikat angkasa Rusia, Glavkosmos, meneroka kerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi membangunkan pelabuhan angkasa di negeri ini.

Delegasi Glavkosmos yang diketuai Timbalan Pengarah Urusan bagi Hal Ehwal Komersial, Vitaly Safonov, mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, Tan Sri Anifah Aman, bagi membincangkan hasil kajian teknikal dan peluang kerjasama strategik.

Glavkosmos, anak syarikat Roscosmos dengan lebih 40 tahun pengalaman dan lebih 300 misi pelancaran komersial menggunakan roket Soyuz 2.1, memaklumkan Sabah dikenal pasti sebagai lokasi paling sesuai di Asia Tenggara untuk pelancaran orbit bumi rendah dan orbit segerak matahari, berikutan kedudukan geografinya yang strategik dan zon jatuhan roket yang selamat di perairan sekitar.

Cadangan pelabuhan angkasa itu dijangka membawa limpahan ekonomi dan teknologi, termasuk mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta merancakkan pembangunan industri sokongan tempatan.

Anifah berkata Sabah mengalu-alukan peluang baharu yang mampu mengangkat negeri ini sebagai pusat inovasi dan teknologi tinggi, sambil menegaskan kesediaan Qhazanah Sabah Berhad untuk meneruskan perbincangan lanjut bersama pihak berkaitan.

Safonov turut menyampaikan model roket mini Soyuz kepada Anifah sebagai tanda penghargaan, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qhazanah Sabah Berhad, Mohamad Damshal Awang Damit, turut hadir dalam pertemuan tersebut.