Resort di Semporna Dikesan Tiada Lesen Operasi Pelancongan, Tujuh Warga China Ditahan

Resort di Semporna Dikesan Tiada Lesen Operasi Pelancongan, Tujuh Warga China Ditahan

0
SHARE

SEMPORNA: Sebuah resort di daerah ini dikesan tidak mempunyai lesen pengendalian pelancongan dan lesen pihak berkuasa tempatan, selain tujuh lelaki warga China ditahan kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja di premis berkenaan.

Penemuan itu hasil pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi Ops Mahir yang dijalankan pada Isnin, sebagai sebahagian daripada Ops Wilayah di Tawau dan Semporna selama dua hari bermula Ahad.

Menurut JIM Sabah, pemeriksaan terhadap resort berkenaan melibatkan 14 individu, terdiri daripada sembilan warga China dan lima warga tempatan.

“Siasatan lanjut mendapati premis berkenaan tidak mempunyai permohonan penggajian ekspatriat, selain tidak memiliki lesen Majlis Daerah Semporna dan lesen pengendalian pelancongan.

“Premis berkenaan turut dikenal pasti beroperasi di atas tanah sewaan seluas 4.4 ekar,” menurut kenyataan itu.

Secara keseluruhan, seramai 32 warga asing ditahan dalam operasi yang diketuai Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, melibatkan 102 pegawai penguat kuasa.

Daripada jumlah itu, 24 individu ditahan di Tawau membabitkan 14 warga Indonesia dan 10 warga Filipina, manakala lapan lagi ditahan di Semporna, termasuk tujuh warga China serta seorang warga Filipina.

Sepanjang operasi pada 8 hingga 9 November, seramai 324 individu diperiksa menerusi beberapa operasi penguatkuasaan termasuk Ops Jaja, Belanja, Kutip, Sapu dan Mahir.

Semua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

JIM Sabah turut mengingatkan majikan supaya mematuhi prosedur pengambilan pekerja asing serta memastikan semua dokumen dan kelulusan berkaitan adalah sah.

Jabatan itu menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat di lokasi strategik seluruh Sabah bagi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI).