Pemuda Gagasan Rakyat Mahu Kenaikan Tarif Elektrik Diiringi Peningkatan Kualiti Perkhidmatan

Pemuda Gagasan Rakyat Mahu Kenaikan Tarif Elektrik Diiringi Peningkatan Kualiti Perkhidmatan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pemuda Gagasan Rakyat menyatakan semakan tarif elektrik Sabah yang berkuat kuasa 1 Februari 2026 perlu diimbangi dengan perlindungan pengguna dan peningkatan ketara kualiti perkhidmatan.

Pemangku Ketuanya, Azrul Ibrahim berkata pihaknya memahami pelarasan tarif tidak dapat dielakkan bagi menjamin bekalan elektrik stabil dan mampan serta mengurangkan kebergantungan kepada subsidi, susulan peningkatan kos operasi dan infrastruktur.

“Namun sebarang peningkatan tarif mestilah disertai dengan peningkatan kualiti perkhidmatan yang boleh dirasai rakyat.

“Gangguan bekalan dan ketidakstabilan voltan tidak boleh lagi dianggap perkara biasa apabila pengguna diminta membayar lebih,” katanya.

Beliau turut menggesa Sabah Electricity memastikan tahap kecekapan operasi dan kebolehpercayaan sistem berada pada standard setimpal dengan pelarasan tarif, selain memperluaskan bantuan bersasar kepada golongan B40, isi rumah berpendapatan sederhana dan peniaga kecil.

“Setiap hasil tambahan daripada pelarasan tarif mesti dibelanjakan secara telus dan bertanggungjawab dengan keutamaan kepada penambahbaikan infrastruktur serta pengurangan gangguan bekalan.

“Rakyat berhak melihat pulangan yang jelas daripada apa yang mereka bayar,” tegasnya.

Menurut beliau, semakan tarif seharusnya menjadi langkah memperkukuh sistem elektrik Sabah agar lebih terjamin, mampan dan boleh dipercayai demi kesejahteraan rakyat.