TAWAU: Seorang wanita warga asing berusia sekitar 80 tahun ditahan polis selepas dikesan menggunakan dokumen pengenalan milik individu lain bagi mendapatkan rawatan di sebuah hospital di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian terbongkar apabila seorang penjawat awam hospital membawa pesakit terbabit ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tujuan semakan cap jari biometrik MyKad.
“Hasil semakan mendapati wanita tersebut tidak menggunakan dokumen pengenalan miliknya sendiri. Susulan itu, satu laporan polis dibuat dan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau menahan suspek di perkarangan IPD Tawau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, polis turut merampas sekeping MyKad yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa mendapatkan rawatan di hospital.
Suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.






