KENINGAU, SABAH – Pemimpin masyarakat akar umbi diseru menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan agar menjadi ikon kepada generasi muda.
Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan rakyat, Datuk Flovia Ng berkata perkara ini adalah langkah pendedahan kepada masyarakat muda untuk menghargai kemerdekaan yang dicapai.
“Bermula petang tadi (semalam), murid-murid sekolah yang terlibat program pada hari ini telah bersedia menunggu Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) bersama penduduk setempat bagi bersama-sama semarakkan Bulan Kebangsaan.
“Program sebegini memupuk kesedaran generasi muda tentang betapa pentingnya makna kemerdekaan, dan pemimpin masyarakat akar umbi sebagai ikon kepada pelajar sekolah dan generasi muda menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan yang dirayakan setiap tahun.
“Sebab itu, saya menyeru kepada pemimpin-pemimpin masyarakat dari akar umbi menunjukkan semangat patriotik kepada masyarakat dengan mengibarkan Jalur Gemilang di setiap premis ataupun di rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui media dalam Program Malam Simfoni Jiwa Merdeka sempena ketibaan Konvoi KMJG di Kampung Pinipi, Sook.
Di samping itu, Flovia turut mengajak rakyat dan masyarakat agar sama-sama mengibarkan bendera Sabah memandangkan sambutan Hari Sabah akan diraikan bersama Hari Kebangsaan setelah diwartakan.
“Saya juga menggalakkan kepada semua pemimpin mahupun masyarakat sekitar Sook ini mengibarkan bendera Sabah kerana Hari Sabah akan turut dirayakan serentak pada tarikh yang sama dengan Hari Kebangsaan.
“Saya juga mengharapkan dengan adanya program seperti ini terutamanya di DUN Tulid, dapat memberi semangat dan pendedahan kepada masyarakat setempat, memandangkan ini yang pertama dan julung-julung kali diadakan di Mukim Lanas, diharapkan ia akan berterusan pada tahun-tahun akan datang,” ujarnya.
Turut hadir, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, Ketua Balai Polis Sook, Sarjan Mejar Sius@ Albasius Sutin dan Penolong Pegawai Daerah Sook, Caroline Benjamin. — JABATAN PENERANGAN SABAH