KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memenuhi TUJUH (7) prasyarat sekiranya mahu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dalam tempoh 14 hingga 21 hari, demikian menurut kenyataan Pemuda UMNO dalam satu kenyataan di media sosial malam tadi.
Dr Asyraf Wajdi Dusuki selaku Ketua Pemuda UMNO dalam kenyataannya berkata, antara prasyarat yang perlu dilaksanakan adalah melakukan pemberian bantuan khas kepada rakyat dalam kumpulan B40 terutamanya mereka yang tidak memiliki gaji tetap, bekerja sendiri atau tiada punca pendapatan.
Menurutnya lagi, kerajaan juga perlu sekali lagi membenarkan pengeluaran i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0 kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika langkah drastik itu dilaksanakan bagi mengekang penularan COVID-19.
“Ketiga, kerajaan harus memanfaatkan Ordinan Darurat untuk mengarahkan institusi kewangan dan perbankan menawarkan moratorium selama tiga ke enam bulan tanpa caj atau faedah tambahan penstrukturan pembayaran atau pembiayaan semula.
“Seterusnya, kilang-kilang besar yang menjadi penyumbang terbesar kepada pandemik iaitu yang menyebabkan lebih 50 peratus penularan virus COVID-19 mesti segera ditutup selama tempoh ‘LOCKDOWN’.
“Hanya pekerja barisan hadapan dan pekerja e-hailing yang menghantar pesanan makanan dan barang keperluan sahaja dibenarkan bertugas dan beroperasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada malam tadi, Khamis.

Pada masa yang sama, beliau memaklumkan sekiranya PKP sepenuhnya dilakukan, kerajaan perlu melarang sebarang aktiviti rentas daerah dan negeri dengan tegas tanpa wujudnya perbezaan tindakan terhadap golongan ‘kayangan’ dan marhaen.
Selain itu, operasi semua sektor di dalam negara perlu ditutup dalam tempoh tersebut kecuali sektor yang merupakan penggerak negara dan dibenarkan operasinya ketika pelaksanaan PKP 1.0 pada tahun lalu.