Sabah Dan Sarawak Perlu Dilayan Dengan Adil

Sabah Dan Sarawak Perlu Dilayan Dengan Adil

0
SHARE

KUCHING – Kerajaan Negeri sentiasa berpendirian bahawa Sarawak dan Sabah tidak harus dilayan sebagai satu daripada negeri dalam Persekutuan Malaysia, tetapi sebagai rakan saksama dalam pembentukan Malaysia pada 1963, kata Timbalan Ketua Menteri.

Memetik portal berita SarawakVoice, menurut Datuk Amar Douglas Uggah Embas, menjadi harapan kerajaan negeri bahawa semua isu perlembagaan dan isu berkaitan Perjanjian Malaysia ditangani dan diselesaikan dengan baik, tanpa perlu menggunakan saluran undang-undang.

Isu autonomi dan penyerahan kuasa mulai panas sejak beberapa tahun ini, kerana sebahagian rakyat Sarawak beranggapan bahawa negeri ini telah tidak dilayan dengan adil sejak pembentukan Malaysia 54 tahun lalu.

Dalam usaha untuk memastikan hak Sarawak dikembalikan, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, meneruskan perjuangan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang meninggal dunia pada 11 Januari lalu.

“Perundingan antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan perlu dilakukan selaras dengan semangat dan hasrat Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan yang dipersetujui semua pihak sehingga Malaysia terbentuk,” kata Uggah.

Sementara persetujuan telah dicapai berkaitan beberapa isu dan diselesaikan melalui tindakan pentadbiran, namun beberapa isu berkaitan perlembagaan dan kewangan masih perlu diselesaikan dengan lebih memuaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan usul berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, semalam.

Usul itu disokong oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Sementara itu, kerajaan negeri diberi mandat menubuhkan jawatankuasa petugas khas untuk berunding dengan kerajaan persekutuan bagi menyelesaikan semua isu berkaitan.

Kerajaan negeri sebelum ini telah menghantar rombongan ke Akrib Nasional Britain untuk mengkaji dan mendapatkan dokumen berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.