Jerebu: Politeknik, KK dan Kimanis Catat IPU Tidak Sihat Hari Ini

Jerebu: Politeknik, KK dan Kimanis Catat IPU Tidak Sihat Hari Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU: Tiga stesen pemantauan kualiti udara di Sabah mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 5 petang hari ini, dengan Politeknik merekodkan bacaan tertinggi 156.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Nor Rashidah Mohd Ghazali berkata, dua lagi stesen yang merekodkan tahap tidak sihat ialah Kota Kinabalu dengan bacaan IPU 152 dan Kimanis, 151.

Sementara itu, tiga stesen lain masih mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana iaitu Keningau dengan IPU 84, Tawau (81) dan Sandakan (76).

Kualiti udara di negeri Sabah telah terjejas akibat jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan.

“Asap tebal daripada kebakaran tersebut dipercayai dibawa oleh tiupan angin merentasi wilayah Borneo, termasuk ke Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Rashidah berkata, berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah serta rondaan pencegahan pembakaran terbuka oleh JAS hari ini, tiada kebakaran besar lain dikesan atau dilaporkan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau.

Menurutnya, laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) berdasarkan imej satelit NOAA-20 pada 5 September lalu juga tidak mengesan sebarang titik panas di Sabah.

Bagaimanapun, sebanyak 224 titik panas aktif dikesan di Kalimantan dan 234 lagi di Sumatera berdasarkan cerapan pada 6 September.

Beliau berkata, berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, 301 hingga 400 bahaya, manakala bacaan melebihi 400 berada pada tahap sangat bahaya.

Susulan keadaan cuaca panas dan kering ketika ini, katanya, JAS Sabah terus meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian khususnya di kawasan berisiko berlakunya pembakaran terbuka.

“Setakat ini sebanyak 534 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) telah dijalankan,” katanya.

Nor Rashidah turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta bekerjasama melaporkan sebarang kejadian kepada JBPM menerusi talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.

Orang ramai khususnya di kawasan yang merekodkan IPU tidak sihat turut dinasihatkan mengikuti perkembangan bacaan IPU semasa serta mematuhi nasihat kesihatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.