Lelaki Cedera, Jari Tangan Tersepit Dalam Mesin Pengisar Ikan

Lelaki Cedera, Jari Tangan Tersepit Dalam Mesin Pengisar Ikan

0
SHARE

SANDAKAN: Seorang lelaki berusia 26 tahun cedera selepas jari tangan kanannya tersepit dalam mesin pengisar ikan dalam kejadian di Tian Sia, di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.11 petang sebelum lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian dan mendapati jari tangan mangsa tersepit di dalam mesin berkenaan.

“Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan peralatan khas bagi melepaskan jari mangsa yang tersepit.

Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian jari tangan kanan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jimmy berkata, mangsa kemudiannya dibawa menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, operasi yang diketuai PBK I Syamzari Ganih ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.25 petang selepas keadaan dipastikan terkawal dan tiada lagi tindakan lanjut diperlukan.